"SAHABAT YANG BAIK ADALAH ORANG YANG BERCAKAP BENAR, DAN BUKANNYA HANYA MEMBENARKAN KATA-KATA."
Satu frasa yang membuatkan aku berfikir sejenak. Mungkin ada benarnya, mungkin tidak. Bergantung pada pihak yang menerimanya. Bagi aku secara peribadi, memang ada benarnya frasa tersebut. Kenapa aku katakan ianya benar? Ini adalah berdasarkan apa yang pernah aku alami. Sepanjang hidup, cukup aku katakan bahawa aku pernah bertemu dengan berbagai jenis manusia. Antara mereka, ada yang pernah menjadi sahabat aku, dan ada juga yang masih menjadi sahabat aku hingga kini.
Kepada sahabat yang masih setia, terima kasih atas pemberian sebuah persahabatan yang tiada nilainya.
Manakala kepada insan2 yang pernah menjadi sahabat aku, terus terang aku katakan, aku sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk bertemu dengan kalian, kerana tanpa adanya kalian hadir dalam hidup aku, mungkin aku tidak akan jadi sematang ini. Walau apa pun, terima kasih diucapkan.
Selesai bahagian mukadimah, beralih pula kepada topik utama entri aku kali ini. "Sahabat yang baik adalah orang yang bercakap benar, dan bukannya hanya membenarkan kata-kata".
Pada pandangan aku, kejujuran adalah aspek yang paling penting dalam sebuah perhubungan. Tidak kiralah sama ada ianya antara keluarga mahupun sahabat. Pun begitu, topik pada kali ini lebih menjurus kepada "sahabat". Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan ini. Mungkin ada yang berkata, "kadang2 kalau terlalu jujur, boleh mengakibatkan pertengkaran" (dipetik drpd perbualan aku dgn seseorg)
Tapi ingin sekali aku jelaskan disini bahawa, bilamana kita meletakkan taraf seseorang itu sebagai sahabat (individu yg paling rapat dengan kita selain keluarga), maka jurangnya amatlah berbeza jika hendak dibandingkan dengan taraf seorang teman, rakan, mahupun kawan.
Tidak perlu rasanya berhujah panjang lebar mengenai status-status yang ada selain sahabat, kerana ianya akan memanjangkan lagi entry ini. Cukup sekadar aku menekankan pada satu pengkhususan. ~
Bila bercakap mengenai sahabat, ianya mengenai seseorang yang kita rasa nyaman dan aman bila bersama. Bersedia berkongsi suka mahupun duka. Malah yang paling penting sentiasa berada disisi kita dikala kita memerlukan, tanpa perlu dipinta.
Dan orang yang dinamakan sahabat itu juga merupakan seseorang yang sentiasa inginkan yang terbaik untuk diri kita. Malu kita adalah malunya juga. Maka, jika seseorang itu merupakan sahabat yang baik, pasti dia akan menegur segala kesilapan dan kesalahan kita walaupun ianya pahit untuk ditelan. Hanya kerana atas satu dasar, iaitu membetulkan apa yang salah, agar kita tidak nampak salah dimata orang lain.
Kenyataan memang tidak selalunya manis. Benar, sekiranya kita ingin mencari seorang sahabat, maka carilah orang yang sentiasa menyatakan kebenaran. Bukan yang hanya membenarkan kata-kata demi menjaga hati dan perasaan semata. (seolah-olah, kita nampak hodoh dalam pakaian yang dipakai, namun demi menjaga hati, sahabat kita menyatakan bahawa kita adalah orang yg paling cantik yg pernah dia temui. Bohong sangat).
Satu lagi perkara yang ingin aku kongsikan, Amatlah jarang kita menemui seseorang sahabat yang mampu berkata-kata benar. Apatah lagi menyatakan apa yang dirasainya sepanjang bersama dengan kita. Jarang diantara mereka yang mampu berterus-terang sekiranya mereka tersinggung dengan kata-kata atau perbuatan kita. Malah yang paling memburukkan keadaan bilamana mereka hanya memilih untuk mendiamkan diri dan memendam rasa. Natijahnya, bila situasi sudah semakin tegang, maka akan timbul suasana hambar dalam persahabatan dan akhirnya mencetuskan pertengkaran. Ianya pasti akan berbeza sekiranya sikap berterus-terang diterapkan dalam setiap persahabatan. Malah, sikap berterus-terang itu akan mewujudkan nilai perkongsian yang saksama,
"sebuah persahabatan itu harus ada sikap memberi dan menerima".
Kesimpulannya, menyatakan sesuatu kebenaran adalah lebih baik walaupun ianya pahit untuk ditelan, daripada melakukan sesuatu pembohongan demi mewujudkan kemanisan bagi melindungi kebenaran tersebut.
Pun begitu, pilihan tetap terletak di tangan masing-masing. Ianya bergantung pada individu itu sendiri bagaimana ia meletakkan nilai sesebuah persahabatan itu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar