1.11.10

Rintihan seorang hamba...(Jahilnya daku...Oh tuhan)

Acap kali aku lemas dalam arus kekhilafan. Aku sering tewas dalam perjuangan jiwa. Tatkala aku berusaha membebaskan dari belenggu masa silam, ketika itu juga satu persatu dugaan dan ujian datang menghampar diriku yang masih rawan. Luka lalu masih belum sembuh, namun ujian yang datang melanda tidak pernah mengenal apa erti sakit. Terus menerus menerjam bertubi-tubi.

Mengapa? Dikala aku berusaha membebaskan diriku dari kurungan masa silam, ketika itu ketegaran jiwa dicabar-cabar. Aku akui bahawa aku seorang yang lemah dan mudah tewas dengan amarah. Namun apa daya, itu merupakan satu sifat negatif yang ada padaku sedari aku kecil lagi.
Mungkin terdorong dengan faktor persekitaran barangkali.

Namun, semakin aku meningkat dewasa, aku sedar sifat negatifku itu seringkali membawa kesulitan kepada sesiapa sahaja yang berada disekelilingku. Seringkali juga aku berusaha untuk membuang sifat negatif itu. Namun setiap kali itu juga, ada sahaja perkara yang timbul seolah-olah mencabar kewibawaanku. Tanpa aku sedari, aku telah melukai ramai orang dek kerana sifat amarahku sendiri.

Kini aku ingin berubah. Aku ingin menjadi orang baru. Orang yang punya kesabaran, punya ketegaran dan keampuhan jiwa tatkala menghadapi dugaan dan cabaran. Aku ingin menjadi orang yang tidak mudah mengalah dengan nafsu amarah.

Bantulah daku Ya Halim, pimpinlah daku Ya Hafidh
untuk mengikis sifat-sifat mazmumah yang berkarang dihatiku ini.
Bantulah daku untuk menyemai benih-benih mahmudah dijiwaku
agar ianya dapat menjadi penghias akhlakku kelak....
Amin.....

Tidak ada komentar: