15.1.08

membina peribadi anggun

Membina Peribadi Anggun

Binalah peribadi anggun, ia wajib bagi seorang gadis. Ia juga wajib bagi seorang wanita dalam apa jua status? anak dara, isteri, janda mahupun nenek.
Anggun adalah gabungan pada semua yang seharusnya ada pada seorang wanita, tidak semestinya ia bermaksud cantik tetapi anggun adalah anggun. Ia makna yang tersendiri dan membawa erti yang cukup besar dalam diri seorang wanita.
Seorang wanita tanpa keanggunan ibarat seorang lelaki tanpa kemachoan. Seperti pokok tanpa daun, apalah istimewanya. Seperti kereta tanpa roda, apalah ertinya. Seperti rumah tanpa pintu dan tingkap, apalah maknanya.
Keanggunan lahir semula jadi, tetapi ia juga boleh dibentuk. Seseorang yang dilahirkan kasar masih boleh menjadi anggun apabila mahu menyerlahkan kewanitaannya. Jika dia selesa dengan kekasaran yang semula jadi itu, ia akan terus menjadi seperti itu dan sifat-sifat keanggunannya akan terhakis sedikit demi sedikit.
Sebaliknya, seorang yang dilahirkan anggun dengan ciri-ciri kewanitaan semulajadi, boleh bertukar kasar apabila dia menghendakinya begitu. Keanggunan dilapik dengan gaya yang menghentak, turutkata yang kuat, bertindak ala lelaki dan sebagainya, lama-lama keanggunan akan hilang berganti dengan kelelakian, sedangkan dia seorang wanita. Sudah tentu tidak match, sebab dunia mengukur begini; apabila seseorang itu dilahirkan sebagai wanita dia perlu memiliki sifat-sifat kewanitaan sejati. Dan tiada ertinya seorang wanita tanpa keanggunan.
Apa itu anggun? Anggun adalah gabungan pada semua keindahan yang perlu ada pada seorang wanita � lembut, berhemah, menyejukkan mata. Bunga dipandang cantik apabila ia berwarna-warni. Pada tahap ia kembang penuh itu adalah tahap kecantikan yang maksimum yang ada padanya. Ketika itu ia adalah sebenar-benarnya bunga.
Bayangkan sekuntum bunga tetapi warnanya pudar, kelihatan layu dan tidak segar, bukankah itu mencacatkan mata kita yang memandang? Memang ia masih bergelar bunga tetapi bunga yang tidak menawan, bunga yang tidak dikehendaki dan bunga yang tiada serinya lagi. Apalah ertinya sekuntum bunga yang sudah kehilangan ciri-ciri bunganya.
Bunga perlu harum. Apabila harum ia akan diminati. Ia akan didekati, dibelek, dibelai dan dicium. Bunga perlu kembang indah. Apabila ia kembang indah ia akan disunting untuk dijadikan hiasan meja. Bunga yang tidak harum dan tidak kembang indah akan kekal di tangkainya hingga kumbang pun tidak sudi datang.
Wanita perlukan keanggunan sebagaimana bunga perlukan keharuman dan kembang yang mempersona.
Kamus memberi makna kepada anggun sebagai bagus, elok, kemas pada pakaian dan tingkah laku serta gaya . Dalam bahasa Inggeris ia diistilahkan sebagai neat, nice, well-dressed. Apabila dicantumkan pada perkataan peribadi, maka membina peribadi anggun ialah proses mencantumkan kekemasan, kebagusan dan keelokan pada perilaku.
Mahkota dan maruah seseorang wanita terletak pada keanggunannya, bukan kecantikannya. Wanita cantik boleh ditemui di mana-mana sebab maknanya subjektif tetapi wanita anggun sukar ditemui sebab maknanya unik. Jika anda telah diistillahkan anggun oleh seseorang, ketahuilah anda telah memiliki segalanya yang diperlukan oleh seorang wanita. Jika anda belum diistilahkan begitu, sekarang masanya untuk membina keanggunan. Ia satu proses penting yang sentiasa mengguntungkan. Buku �Membina Peribadi Anggun� barangkali membantu.

Tidak ada komentar: