Sebenarnya sudah lama persoalan ini berlegar-legar di fikiran saya. "Antara bunga, rama-rama dan mutiara....yang manakah kita?"
Apakah persamaan antara bunga, rama-rama dan mutiara?
Persamaannya semua itu dicipta oleh Allah. Ketiga-tiganya sinonim dengan kecantikan. Dan kecantikan itu amat sinonim dengan wanita.
Apakah perbezaan antara ketiga-tiganya jika dinisbahkan pada wanita?
Banyak perbezaannya. Seperti juga wanita. Setiap wanita itu mempunyai personaliti yang berbeza.
Bagaimanakah sifat bunga yang dinisbahkan pada wanita?
Bunga itu cantik dan kebanyakkan bunga berbau harum. Dek kerana kecantikan itu, bau wangi dan madu yang manis itu menarik perhatian sang kumbang untuk menghingapinya. Seperti jua wanita, bagi yang gemar mempertontonkan kecantikan di khalayak ramai pasti menarik perhatian jejaka. Ditambah pula dengan solekan (tabaruj), pakaian yang menjolok mata (tidak menutup aurat) membuatkan sang lelaki makin ligat untuk mendekati. Tapi sayang, bunga yang cantik tidak dapat bertahan lama, bunga akan layu setelah beberapa hari ia mekar. Dan jika kecantikan wanita itu sperti bunga, pasti ia luput dek kerana dimamah usia. Bunga juga mudah di petik. Diambil orang bila-bila masa.
Jika wanita sifatnya seperti bunga, maka dia akan mudah dipersiakan dan dipergunakan.
Bagaimanakah pula sifat wanita yang dinisbahkan dengan rama-rama?
Rama-rama juga cantik sama seperti wanita. Ia gemar terbang ke sini sana. Maka ia menarik perhatian mata yang memandang. Jika ia tersilap langkah, pasti akan di tangkap. Usia rama-rama juga tidak panjang. Mudah mati kerana perubahan cuaca. Wanita yang sifatnya seperti rama-rama adalah wanita yang gemar memperlihatkan dirinya di hadapan ajnabi. Jika dia tersilap langkah, pastinya dia menjadi kerakusan lelaki.
Bagaimanakah pula wanita yang diibaratkan seperti mutiara?
Mutiara cantik, tinggalnya di dasar lautan yang gelap. Tidak akan mudah dijumpai melainkan si pencari merupakan penyelam yang hebat. Tidak mudah dimiliki kerana nilainya yang tinggi. Hanya yang benar-benar mampu, boleh memilikinya. Bertuahlah wanita yang sifatnya seperti mutiara. Dia ialah wanita solehah yang menjaga peribadinya. Pergaulan sentiasa dibatasi. Dia tidak suka berada di khalayak ramai apatah lagi menhjadi perhatian sang teruna. Dia hanya milik yang satu. Hanya kepada suami, kecantikan itu dipamerkan.
Bagaimanakah diri kita?
Ana sendiri dalam proses mengislahkan diri. Masih lagi mentarbiyyah diri agar dapat berilmu dan beramal dengannya. Sama-sama kita memperbaiki diri dalam mengejar mardhotillah.
Wahai wanita, (untuk diri ana juga)
Tutuplah auratmu seperti mana yang telah disyariatkan.
Firman Allah dalam surah an Nur,31:
“…..hendaklah mereka tutupkan tudung (selendang) mereka ke leher dan ke dada mereka….”
“Sesungguhnya, sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi yang telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya” Riwayat Bukhari dan Muslim
Fahamilah tuntutan menutup aurat itu. Menutup aurat bukan sekadar bertudung.
Rasulullah bersabda: “…hendaklah kamu meminjamkan dia baju yang panjang dan longgar itu”.Menurut riwayat Imam Tarmizi dan Nasa’i dari Ummu Salamah r.a: “Ya Rasulullah, bagaimanakah perempuan akan berbuat kain-kain mereka disebelah bawah?”
Sabda Rasulullah s.a.w: “Hendaklah mereka memanjangkan barang sejengkal dan janganlah menambahkan lagi ke atasnya.Elakkan tabaruj, elakanlah menarik perhatian lelaki.
Firman Allah dalam surah al ‘Araf, 31: “…pakailah perhiasanmu pada setiap waktu sembahyang. Makan dan minumlah dan jangan melampaui batasan”.“Barang siapa yang memakai pakaian yang menjolok mata, maka Allah, maka Allah s.w.t akan memberikan pakaian kehinaan di akhirat nanti”.Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasa’I dan Ibn Majah.
Janganlah kamu memakai wangian yang berlebihan
“Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencim baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata itu adalah zina”.Riwayat Nasa’i, ibn khuzaimah dan Hibban.
Sama-sama kita memperbaiki diri. Didiklah diri kita untuk menjadi wanita yang lahir dari acuan al Quran dan Sunnah.
Wallahu’alam…